Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Saya tertarik dengan tulisan saudara Raymond Chua baru-baru ini.
Memang kerapkali kita sendiri juga mendengar beberapa patah perkataan dari insan-insan di sekeliling kita tentang impian masing-masing. Maka tulisan Raymond Chua ini mengingatkan saya bahawa saya sendiri pada suatu ketika dulu seolah-olah tidak yakin apa yang saya impikan.
Seperti kata Raymond :
Jawapan yang sering saya terima adalah seperti:
1) Entah
2) Tak pasti
3) Kalau boleh, saya ingin ...
4) (senyum je)
Jawapan-jawapan di atas tidak spesifik langsung dan jika anda tidak tahu apa yang anda hendak dalam hidup ini, macam manalah anda hendak mendapatkannya?
Bayangkan keadaan ini:
Anda menaiki sebuah teksi dan seperti biasa, pemandu teksi tersebut akan menanya anda tentang destinasi anda. Anda menjawab, "Entah, pandulah dulu, kalau dah sampai, saya akan bagitau". Adakah anda akan sampai ke destinasi jika anda bertindak demikian? Jawapannya tidak! (mungkin anda juga akan dihalau keluar dari teksi tersebut).
Ia nampak kelakar tetapi ramai orang yang menjalankan hidup mereka dengan cara ini. Adakah anda salah seorang daripada golongan ini?
Jawapan yang ketiga iaitu, "Kalau boleh, saya ingin ......" lebih spesifik tetapi ia tidak mempunyai unsur keghairahan di dalamnya. Perkataan "saya ingin" bererti anda ingin mendapatkan sesuatu tetapi memilikinya ataupun tidak pun tak apa.
Misalnya anda sudah kenyang tetapi rasa ingin makan ais krim pula. Jadi anda pun menuju ke peti sejuk dalam rumah anda dan cuba cari kalau-kalau masih ada ais krim di dalamnya. Kalau ada, anda pun makanlah ais krim tersebut. Kalau tak ada pun tak mengapa.
Pemikiran sebegini tidak akan membawa anda kepada sebarang kejayaan.
Kata Raymond untuk berjaya, anda MESTI menggunakan dua perkataan ini :
"SAYA HENDAK"
Misalnya:
- Saya hendak menjadi seorang jutawan sebelum 31 Disember 2009
- Saya hendak hidup lebih daripada 100 tahun.
- Saya hendak syarikat saya disenaraikan dalam Bursa Saham Kuala Lumpur dalam papan utama sebelum 1 Jun 2010.
- Saya hendak keluarga saya termasuk saya hidup dalam keadaan sihat dan bahagia.
- Saya hendak menubuhkan sebuah yayasan untuk membantu anak yatim.
- Saya hendak memulakan perniagaan sendiri sebelum 1 Ogos 2009.
- dan sebagainya
Lihat diri anda sendiri sebagai seorang komander. Apabila anda menggunakan perkataan "Saya hendak", anda sebenarnya sedang memberi arahan kepada diri anda serta alam ini dan setiap arahan mesti diturut.
Apabila anda menggunakan perkataan "Saya hendak", ia memberi kuasa serta motivasi kepada anda untuk mencapainya. Ia juga dapat mengelakkan penangguhan kerana setiap arahan berkesan serta merta.
Cuba katakan 2 ayat ini:
Saya ingin menjadi seorang yang soleh.
Saya hendak menjadi seorang yang soleh.
Ayat yang mana satu lebih berkesan? Ayat yang mana satu lebih berkuasa? Ayat yang mana satu yang memberikan anda motivasi untuk mencapainya?
Oh, satu lagi aktiviti untuk anda.
Perhatikan majikan anda (Jika anda bekerja makan gaji). Adakah majikan anda menggunakan ayat:
"Saya hendak kamu buat ini ... ini ... dan ini" ataupun
"Saya ingin kamu buat ini ... ini ... dan ini" ataupun
"Bolehkah kamu buat ini ... ini ... dan ini" ataupun
"Kalau boleh, kamu buat ini ... ini ... dan ini" (Mungkin tidak ada orang yang akan buat kerja tersebut jika dia menggunakan ayat ini).
Ayat manakah yang dapat menggerakkan anda?
"Oleh itu, hendaklah kita menggunakan dua (2) perkataan ini dalam kehidupan harian kita iaitu SAYA HENDAK".
SALAM KEJAYAAN DAN SALAM KECERIAAN DARI SAYA, NORMALA SHAMSUDDIN - AMPANG, SELANGOR.
Tuesday, 10 March 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

1 comments:
hi, how r u? long tym no see visit me too. happy hollyweek
Post a Comment